Kerajaan komited perkukuh penyampaian perkhidmatan

KERAJAAN Sabah komited untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatannya dengan memperkasakan pentedbiran dan kelengkapan peralatan digital untuk anggota perkhidmatan di negeri ini. Ketua Menteri Datuk Seri Hajii Noor berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer (JPKN) dan Sabah Net akan memastikan pendigitalan dibangunkan secara konsisten melalui pelbagai rancangan dan program pendigitalan. JPKN bertanggungjawab membangunkan sistem aplikasi untuk agensi Kerajaan Negeri dan dijangkakan sebanyak 30 sistem aplikasi berciri End-To-End akan dibangunkan.

Inisiatif digitasi rekod mudahkan pencarian dokumen lama

Inisiatif Digitasi Rekod Mahkamah Anak Negeri di negeri ini diyakini mampu mencapai objektifnya selaras dengan elemen yang terkandung dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, elemen berkenaan adalah Ekonomi Digital iaitu bagi Mengintegrasikan Infrastruktur Merentasi Sektor Awam, Perniagaan dan Rakyat. “Sudah pasti inisiatif digitasi rekod ini adalah untuk menyimpan rekod-rekod lama dan usang dalam bentuk digital selain memulihara rekod-rekod yang terdapat unsur-unsur sejarah untuk dijadikan bahan rujukan pada masa akan datang. “Inisiatif ini juga akan menjadikan rekod-rekod awam yang bernilai tinggi mudah dicapai sekiranya diperlukan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Digitasi Rekod Mahkamah Anak Negeri di sini hari ini. Yakub berkata, usaha meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, dalam Perkhidmatan Awam, bukanlah perkara baru untuk semua pihak. Katanya, ia turut dilihat dalam persekitaran yang semakin dinamik pada masa kini selain menuntut semua pihak memainkan peranan yang lebih cekap terutamanya dalam memperbaiki sistem penyampaian ke tahap yang lebih baik melalui inovasi dan inisiatif digital. “Oleh itu, Kerajaan menjadikan bilangan projek transformasi digital, sebagai petunjuk prestasi utama, dimana usaha mempergiatkan projek transformasi digital ini, diberikan penekanan terhadap kepuasan pemegang taruh, yang mana terdiri daripada orang awam. “Salah satu strategi pemboleh daya bagi kerajaan yang Berteraskan Teknologi dan Inovasi, adalah membangunkan sistem G2C iaitu (Government to Community). “Inisiatif Digitasi Rekod ini sebenarnya adalah gabungan pelaksanaan teknologi peralatan dan sistem aplikasi penyimpanan rekod,” katanya. Sementara itu, Yakub berkata, rekod-rekod dokumen yang disimpan secara fizikal, akan disimpan dalam pangkalan data secara digital dan ianya dikawalselia oleh pembangun sistem. Katanya, pembangun sistem ini adalah terdiri dari pegawai Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) sendiri. “Justeru, tiada kos pembangunan bagi sistem aplikasi yang digunakan. Saya amat yakin bahawa pelaksanaan aktiviti digitasi rekod ini dapat memperkasakan perkhidmatan Mahkamah Anak Negeri di Negeri Sabah. “Seperti yang telah diamanatkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, semua penjawat awam perlu menitikberatkan kepentingan menggunakan teknologi digital, agar dapat melaksanakan pembaharuan dalam perkhidmatan awam, dengan berpaksikan 3R iaitu Revitalise (Menggiatkan), React (Reaksi), and Responsible (Bertanggungjawab),” katanya.

Persidangan Keselamatan Siber Sektor Awam Negeri 2022

Penjawat awam khususnya di Sabah perlu sentiasa berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran digital seiring dengan perkembangan semasa yang bergerak dengan pantas. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, ini kerana penjawat awam memainkan peranan besar dalam memastikan peningkatan sistem penyampaian kerajaan melalui pendigitalan dan juga memastikan ianya selamat. Saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk bersama-sama dengan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dalam penglibatan dan kerjasama berterusan melaksanakan perkara ini. Ini juga sesuai dengan peranan JPKN sebagai pembangun utama aplikasi Kerajaan Negeri dalam ekosistem siber yang selamat, katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Siber Sektor Awam Sabah 2022 di sini hari ini. Yakub turut mengingatkan penjawat awam tentang keperluan menamakan dan memastikan untuk sentiasa mengemaskini senarai Pegawai Keselamatan ICT (ICTSO) di organisasi masing-masing.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan CyberSecurity Malaysia (CSM)

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) telah ditandatangani pada 25 Ogos 2022, bertujuan untuk mengesahkan kerjasama bagi melaksanakan Program CyberGuru di Negeri Sabah, dengan berfokuskan program Pensijilan Certified Information Security Awareness Manager (CISAM). Ia merupakan satu program latihan dan pensijilan ikhtisas yang memberi pengetahuan praktikal bagi membolehkan para pegawai perkhidmatan awam Sabah membangun dan mengurus program kesedaran keselamatan siber dalam organisasi mereka. MoU ini dimeterai berdasarkan keperluan utama untuk memperkasa pelaksanaan program kesedaran keselamatan siber yang dijalankan ketika ini, iaitu ia perlu diuruskan dengan lebih teratur di dalam setiap organisasi, di mana ini memerlukan pegawai dalam organisasi yang terlatih untuk membantu JPKN dalam meningkatkan tahap kesedaran keselamatan siber.

    Studio Maya JPKN

KOTA KINABALU : Pengwujudan studio maya Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) Sabah yang tersedia berikutan perubahan norma perkhidmatan selepas penularan wabak COVID-19 dilihat teapat pada masanya. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, studio maya yang diwujudkan JPKN itu dilihat mampu menjimatkan kos penyewaan tempat dan perkhidmatan penggambaran. Katanya, ianya juga adalah peneraju utama dalam melaksanakan rakaman video korporat, webinar dan lintas langsung secara maya menggunakan teknologi layar hijau yang berkualiti kepada Agensi Kerajaan Negeri Sabah. “Seiring dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk mewujudkan kerajaan digital, JPKN telah menjadi jentera penggerak kepada aspirasi ini. “Ia termasuk dengan memberikan perkhidmatan pembekalan komputer kepada pegawai– pegawai yang bekerja dari rumah, membangunkan sistem bayaran bantuan covid dan sistem–sistem lain bagi melancarkan dan memudahkan urusan perkhidmatan awam. “Selain itu ia JPKN juga memberikan bantuan teknikal bagi webinar, lintas langsung dan lain–lain perkhidmatan ICT,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga JPKN disini semalam. Yakub berkta, beliau turut merakamkan penghargaan keada semua kakitangan JPKN yang telah menjalankan tanggungjawab dan memenuhi amanah yang diberikan, walaupun berhadapan dengan persekitaran yang penuh dengan dugaan dan cabaran pada masa kini. “Penularan pandemik COVID-19, sejak penghujung tahun 2019, telah merubah corak dan pola kehidupan manusia sejagat, termasuklah perubahan norma perkhidmatan, terutamanya dengan pengenalan pelbagai SOP atau Prosedur Operasi Standard, yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. “Ianya juga telah mencetus satu era baharu dan mengubah sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam. “JPKN memainkan peranan yang penting bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran perkhidmatan awam dalam norma baharu ini,”katanya.